Pengenalan Kg Singgaron Baru, Ranau

Kampung Singgaron Baru yang terletak lebih kurang 20KM dari Timur Laut Pekan Ranau Sabah adalah sebuah perkampungan yang telah wujud sejak awal tahun 1960-an. Majoriti penduduk di kampung ini adalah berbangsa Dusun yang mana seramai hampir 95 peratus penduduknya beragama Islam dan selebihnya Kristian. Majoriti penduduk di Kampung Singgaron Baru mengusahakan tanah sendiri dengan bercucuk tanam. Antara tanaman utama penduduk tempatan pada awal pembukaannya adalah seperti Padi, Pisang, Ubi Keledek, Ubi Kayu, Kelapa, Serai, Halia, Lengkuas, Cili Padi, Lada, buah-buahan dan macam-macam lagi.

GAMBARAN KG SINGGARON BARU, RANAU

Kampung Singgaron Baru terkenal dengan keunikan Flora dan Faunanya. Saban tahun, ramai penyelidik dari dalam dan luar negara datang ke Kampung Singgaron Baru untuk membuat penyelidikan Flora dan Faunanya yang masih belum diterokai sepenuhnya. Pada pertengahan tahun 2015, Pertubuhan Tabung Hidupan Liar Sedunia untuk Alam Sekitar Malaysia (WWF Malaysia) Sabah telah melancarkan Program Water Voice di Kampung Singgaron Baru sebagai usaha untuk menerapkan kepentingan menjaga kebersihan air bermula dengan penjagaan sungai. Sehingga kini, Kampung Singgaron Baru masih mendapat air bersih secara percuma.

Di samping itu, Kampung Singgaron Baru telah di bimbing oleh Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional (TEKUN), dan Yaysan Usaha Maju (YUM) untuk meningkatkan sosio-ekonomi penduduk kampung. Selepas mendapat pendedahan dan bantuan kewangan daripada AIM, TEKUN dan YUM, penduduk Kampung mula aktif dalam menghasilkan produk makanan seperti kerepek pisang, kerepek ubi dan lain-lain produk makanan. Selain itu, penduduk kampung juga diajar untuk menghasilkan produk kraftangan seperti bakul dan dompet yang berasaskan Rotan dan Strapping Band. Namun demikian, ianya hanya dihasilkan mengikut permintaan kerana faktor kekurangan pasaran.

Kampung Singgaron Baru telah menjadi sebuah kampung angkat kepada Kumpulan Yayasan Sabah sehingga 2018 dan dikategorikan di bawah Program Desa Cemerlang dan Berinovasi (PDCB).



Sumber: